Terbayang rasa ikan masin yang rangup dan bau aroma yang menusuk kalbu ketika menggoreng ikan masin di dapur sudah cukup membuatkan diri kita kecur liur.
Masyarakat di Malaysia memang gemar memakan ikan masin dek kerana rasa masin dan rangup diselangi bau yang menjemput nafsu makan untuk segera menjamahnya.
Jom kita lihat jenis-jenis ikan masin mana yang popular di Malaysia dan selalu digunakan dalam masakan yang macam mana.
Ikan Masin Bulu Ayam
Ikan masin bulu ayam ni memang kegemaran ramai, bukan saja rasanya rangup malah baunya yang menyengat memang mengundang untuk makan bersama nasi panas!
Ikan masin bulu ayam ini sangat mudah disediakan, biasanya ramai suka masak ikan masin bulu ayam ini dengan cara menggoreng sambil dicampurkan dengan cili padi dan bawang besar. Dan ada juga yang masak ikan masin bulu ayam ini secara goreng bersambal.
Ikan Masin Talang
Siapa yang tak kenal dengan ikan masin talang ni, isinya yang padat dan banyak membuatkan ia antara menu makanan kegemaran ramai. Kebiasaannya ikan masin talang ini dimasak sebagai menu ikan masin talang masak lemak nenas.
Gabungan manis ikan talang bersama rasa masam buah nenas menjadikan ia sebagai menu lazat kesukaan ramai, siapa yang dah cuba pasti nak lagi.
Ikan Masin Tenggiri
Siapa penggemar menu sayur kailan ikan masin, kita geng. Ini kerana menu ini menggunakan ikan masin tenggiri yang di potong dadu atau kecil-kecil, lalu dimasak bersama sayur kailan. Rasa ikan masin tenggiri yang asin cukup menyelerakan.
Selain itu, ikan masin tenggiri ini juga sering dimasak secara goreng yang dicampurkan dengan cili dan bawang. Pendek kata siapa penggemar ikan masin tenggiri ni, semua jenis menu sesuai untuk di masak.
Ikan Masin Kurau
Ikan masin kurau ni cukup terkenal di pasar-pasar pagi, untuk pengetahuan bukan semua orang boleh menangkap ikan kurau ni hanya nelayan yang mempunyai lesen sahaja dibenarkan menangkap ikan ini. Ikan kurau ini dijadikan sebagai ikan masin kerana rasanya lebih padu dan lazat.
Biasanya ikan masin ini dimasak sebagai ikan masin kurau masak cuka, gabungan asin dan rasa cuka akan membuatkan lidah menikmati rasa yang luar biasa.
Ikan Masin Gelama
Ikan masin gelama ini merupakan makanan tradisi zaman datuk dan nenek kita lagi, sebut saja menu ikan masin gelama pasti ramai yang tahu. Ikan masin ini sering dijadikan menu masak goreng asam, goreng bersambal dan juga pulut ikan masin gelama.
Sebut je nama menu-menu makanan yang boleh dimasak bersama ikan masin gelama ni memang kecur liur dibuatnya.
Peringatan: Ikan-ikan masin ni bukan tak boleh di makan, boleh cuma bukan setiap hari dan pengambilan ikan untuk setiap hidangan pun tak boleh berlebihan sangat.
Walaupun ikan masin ni diperkaya dengan vitamin A, B1, C, besi, kalsium, dan protein, tapi ingat kesihatan juga kena jaga, kalau tidak tak pasal-pasal pula dapat penyakit darah tinggi pula nanti. Jadi makan berpada-pada okay!
Kredit: Wanista
uols mungkin berminat baca:
5 kebaikan makan jamu di usia muda
Tak mampu beli mask, orang asli Mexico anyam sendiri guna daun