Santan dan masakan Malaysia memang tak boleh lari. Tapi, masak makanan yang menggunakan santan agak mencabar, terutamanya yang baru nak belajar masuk dapur. Tersalah cara, santan boleh pecah lemak dan menyebabkan masakan jadi tak cantik. Rasanya mungkin sama, tapi visualnya pasti nampak tak menyelerakan.
Jadi macam mana nak atasi masalah santan pecah minyak ni ya?
1. Kacau dengan kerap
Pentingnya kacau masakan dengan kerap adalah supaya campuran santan sebati dengan kuah. Jangan tinggalkan atas dapur macam tu je, kacau dengan perlahan dan kerap supaya minyak santan yang keluar tu tak bergumpal.
2. Api perlahan
Nak masakan elok cantik, jangan gunakan api yang besar. Guna api perlahan atau sederhana je. Lagi kuat api, lagilah cepat santan pecah minyak.
3. Masukkan santan cair sebelum santan pekat
Kalau nak tahu, santan ada dua jenis, santan pekat dan santan cair. Nak elakkan santan pecah minyak, masukkan dulu santan cair dengan bahan-bahan yang nak ditumis. Bila santan cair dah mereneh, barulah masukkan santan pekat.
4. Guna santan segera
Sebenarnya kalau nak tahu santan segar lebih senang untuk pecah lemak berbanding santan segera sebab santan segera ada penstabil dan pengemulsi yang bantu untuk kekalkan teksturnya.
5. Campur tepung beras
Sebelum gaulkan santan dengan kuah, campurkan sedikit tepung beras dalam santan dan kacau sampai sebati. Lepas tu barulah masukkan campuran santan tadi dalam kuah. Tepung beras akan bantu tekstur kuah jadi lebih cantik tanpa ada masalah pecah minyak.
Dengan gunakan 5 tips ini rasanya dah tak ada masalah pecah minyak lagi kalau masak masakan yang gunakan santan. Selamat mencuba!