Belajar bersyukur dan tolak bisikan syaitan, kerjanya hanya menyesatkan.
Pakai susuk untuk cantik? Walaupun pemakaian susuk adalah amalan kuno yang menyimpang dari ajaran Ialam, masyarakat moden masih lagi ada yang terjebak dengan cara sesat untuk mencapai tuntutan nafsu.
Selain dari mahu kelihatan cantik, susuk biasanya dipakai untuk mendapat kekebalan atau kekuatan. Ramai juga yang gunakan susuk sebagai ilmu penunduk dan tak kurang pula yang memakainya di kemaluan untuk kekuatan nafsu syahwat.
Alhamdulillah aku terhindar dari perbuatan syirik ni, tapi aku nak share cerita pasal kawan baik aku yang kalah dengan nafsu dan akhirnya tersiksa kerana susuk.
Laili (bukan nama sebenar) memang seorang gadis yang cantik. Masa kitorang sekolah pun dia memang pelajar kegilaan abang-abang senior dan juga yang sebaya. Satu je perangai Laili yang aku tak berapa berkenan, dia tak pernah rasa cukup dengan kurnia kecantikan yang Allah beri.
Habis sekolah, aku ngan Laili tak sambung belajar. Kitorang terus kerja pasal nak bantu keluarga dan tanggung adik-adik yang masih sekolah. Masa ni lah masalah start.
Laili mula bercinta dengan anak boss kitorang, Adam. Nampak sama padanlah. Laili tu cantik, memang rezeki dia dapat boyfren anak orang kaya.
Mula-mula hubungan Laili ngan Adam ok jer. Lebih kurang 6 bulan bercinta, Laili citer kat aku yang dia syak Adam ada perempuan lain. Adam dah tak mesra macam biasa dan mula berkira dengan Laili. Kalau dulu apa saja kemahuan Laili diturutkan, sekarang macam-macam alasan yang dapat.
Laili mula murung sebab dia memang dah lena dengan kemewahan yang Adam beri masa mula-mula bercinta dulu. Telinga akulah yang jadi pendengar setia tiap kali dia ada masalah.
Satu hari tu Laili kata dia nak ikut rakan sepejabat kitorang ke Indonesia. Holiday katanya. Aku pun tak syak apa lah masa tu. Biarlah Laili tenangkan hati dia kat sana sekejap.
Sehingga lah Laili balik dengan wajah yang berseri-seri lebih dari biasa. Cantik sungguh la. Sumpah kalau aku lelaki, dah lama aku try Laili ni.
Dalam masa yang sama Adam pun mula melekat balik dengan Laili. Tiap-tiap hari berkepit sampailah diorang kawin tak lama lepas tu. Alhamdulillah.
Lepas tu diorang pindah ke negeri lain dan aku pulak sibuk dengan kerja. Tapi tiap kali balik kampung ada jugak lah aku dengar cerita dari mak aku pasal Laili. Keluarga dia pun dah senang sikit sekarang. Baguslah dapat menantu kaya yang tak berkira.
Tapi balik kampung raya lepas, aku dapat berita tak elok tentang Laili. Dia dah bercerai dan tinggal kat rumah mak dia. Tak sihat kata mak aku. So aku pergi lah jenguk Laili.
Terkejutnya aku tengok keadaan Laili. Macam tengok orang asing. Kurus, hitam dan tak terurus. Bila tanya aku siapa, dia tak kenal. Mak Laili kata, dengan ahli keluarga sendiri pun dia dah tak kenal. Ada sekali tu Laili nak parangkan bapak dia pasal dia kata orang tua tu hantu raya. Nasib baik takde apa-apa jadi.
Paling aku sedih apabila Laili terpaksa di pasung dalam bilik. Takut dia mengamuk lari serang orang kata mak Laili. Merisik-risik pada mak Laili kenapa dia jadi macam tu buat aku tercengang.
“Laili ni langar pantang susuk!”.
Allahu, macam tak percaya perempuan cantik macam Laili terjebak dengan godaan syaitan. Baru lah aku teringat sesuatu tentang holiday Laili ke Indonesia dulu dan bila dia balik,dia lebih cantik luar biasa. Kalau ikut cerita mak dia, Laili ambik susuk untuk lebih cantik dan juga sebagai penunduk pada Adam.
Apa yang ada pada Laili sekarang? Takde apa selain nyawa. Cantik dah hilang, Adam pun dah lesap. Tinggallah Laili meraung-raung setiap malam macam orang gila.
Sekarang ni mak bapak Laili tengah ikhtiar bawak dia pergi berubat untuk keluarkan susuk tu. Tak pasti pulak lah aku dia pakai susuk apa. Kesian sangat.
Sedih tengok kawan aku jadi macam tu semata-mata sebab nak dapatkan cinta dari lelaki idamannya. Bersyukur lah dengan apa yang kita miliki,dan andai insan yang kita sayang bukan jodoh terbaik buat kita maka berserah lah kerana hidup ini satu pencarian seandai nya gagal maka ada jalan lain atau insan lain buat kita.