Selain pemilihan syampu yang betul, ketahui juga bahan alami yang boleh anda gunakan untuk mendapatkan kembali rambut yang beralun sihat.
Kita semua dah biasa dengar pasal masalah kelemumur atau dandruff. Punca utama masalah kelemumur adalah kulit kepala yang kering akibat kekurangan penghasilan sebum atau minyak semulajadi yang dikeluarkan badan kita untuk memastikan kulit kepala sentiasa sihat. Gatal kulit kepala, rambut yang kurang sihat dan ‘snowflakes’ adalah antara kesan biasa dari masalah ini.
Antara faktor lain yang menyebabkan kelemumur adalah:
Pemakanan yang kurang sihat
Diet yang seimbang penting untuk kesihatan rambut dan kulit kepala. Kekurangan pengambilan makanan yang kaya dengan zinc dan vitamin B boleh kulit kepala tidak sihat.
Stress, jantina dan umur
Secara am, lebih ramai lelaki mengalami masalah kelemumur berbanding perempuan dan masalah ni selalunya dialami oleh mereka dalam lingkungan usia remaja ke pertengahan umur. Stress juga selalu dikaitkan dengan masalah ni so lakukan aktiviti yang dapat kurangkan stress macam bersenam untuk atasi masalah kelemumur.
Cuaca dan kulit kepala sensetif
Lumrah tinggal di negara tropikal, kita sentiasa menghadapi cuaca panas yang tak menentu. Pendedahan yang berterusan semasa berada di luar rumah atau pemakaian hijab terlalu lama boleh menjadi punca masalah kelemumur.
Syampu/perapi yang tidak sesuai dan penjagaan kebersihan diri
Bukan semua produk serasi dengan kita. Tukar produk jika ada korang mengalami iritasi atau perubahan ketara. Mencuci rambut atau penggunaan perapi yang terlalu kerap atau kurang juga boleh menyebabkan masalah yang sama. Jangan garu dan sentiasa sikat rambut korang supaya sel kulit mati terpisah secara natural.
Penyakit kulit
Penyakit kulit seperti fungus ring worm (berbentuk bulat) atau seborrheic dermatitis (kemerahan pada kulit kepala) menambah keberangkalian korang untuk ada kelemumur. Jangkitan yis yang dikenali sebagai malassezia juga boleh menyebabkan kulit kepala korang keras serta berkuping.
Dengan mengenali keadaan yang boleh menyebabkan masalah kelemumur, korang boleh mencari penyelesaian terbaik bagi mencegahnya.
Ketahui bahan aktif dalam syampu atau perapi
- Zinc pyrithione: Mengurangkan pertumbuhan yis
- Coal Tar: Mengelak dan memperlahankan pertumbuhan sel berlebihan
- Salicylic acids: Menyingkirkan sel kulit dan memperlahankan pertumbuhan sel
- Selenium sulphide: Mengurangkan penghasilan minyak natural
- Ketoconazole: Mengatasi masalah kulat (anti-fungal)
- Tea-tree oil: Membantu pembasmian bakteria (antiseptik dan antibiotik)
Cuci rambut dengan lebih efektif:
- Baca label sebelum menggunakan produk yang baru, bukan semua produk mempunyai cara penggunaan yang sama. Ada bahan yang perlukan masa yang lebih lama untuk memberi reaksi/rawatan semasa proses mencuci.
- Gunakan syampu lebih kurang saiz duit syiling. Gandakan kuantiti tersebut kalau rambut lebih tebal atau panjang.
- Sebaiknya basahkan rambut dengan air suam untuk menyingkirkan kotoran dan minyak. Kemudian bilas dengan air sejuk bagi memastikan kutikel yang terbuka pada awal pencucian tertutup semula. Air sejuk juga boleh memberi kesegaran serta-merta.
- Pastikan syampu diratakan pada kulit kepala dan diurut lembut semasa mencuci rambut. Masa mencuci rambut, kena bagi perhatian pada rambut dan kulit kepala bagi memastikan keseluruhan mahkota kita bersih.
- Semasa menggunakan perapi rambut, pastikan perapi tak diletakkan/terkena pada kulit kepala. Kadang-kadang kecuaian kita sebagai pengguna yang menyebabkan kelemumur menghantui hidup kita.
- Bilas perapi rambut dengan sempurna. Meninggalkan sisa perapi pada rambut boleh mendatangkan ketidakselesaan, bauan yang kurang menyenangkan, mengumpul habuk atau kotoran dan mengusutkan rambut.
Alternatif penjagaan rambut menggunakan bahan semulajadi/DIY/homemade:
- Minyak kelapa
Sapu dan urut 3-5 sudu besar minyak kelapa pada seluruh kulit kepala dan biarkan selama sejam sebelum mandi. Cuci rambut dengan sempurna.
- Lemon
Tambah perahan sebuah lemon ke dalam secawan air. Gunakan campuran untuk membasuh rambut. Untuk kesan yang lebih cepat, urut kulit kepala dengan perahan jus lemon sebelum bilas seperti biasa.
- Aloe vera
Oles dan urut kulit kepala dengan aloe vera untuk mengurangkan rasa gatal dan merawat kulit kepala. Kemudian cuci rambut seperti biasa.
- Minyak zaitun
Titiskan lebih kurang 10 titisan minyak zaitun ke atas kulit kepala dan ratakan. Pakai shower cap dan biarkan semalaman. Syampu dan bilas pada keesokan harinya.
- Bawang putih
Tumbukkan beberapa ulas bawang putih dan gosokkan pada kulit kepala atau tambahkan dengan satu sudu madu bagi mendapatkan konsistensi cecair yang lebih senang untuk diletakkan pada kulit kepala. Urut lembut dan cuci rambut.
Kelemumur bukan masalah yang boleh dipandang ringan kerana ia boleh memberi kesan negatif seperti kurang keyakinan diri dan masalah kulit kepala yang lebih sensitif. Jangan tergaru-garu lagi, cari penyelesaian terbaik supaya anda boleh tampil menawan dengan rambut yang sihat bersinar.